Friday 15 November 2013

Untuk anak-anak: Berdampinglah dengan orang yang disayangi Allah SWT

Anak-anak,

Hari ini ummi mahu sentuh sedikit betapa pentingnya kita hidup dikelilingi orang-orang yang mencintai Tuhannya. Dalam surah Al-Kahfi ayat 28, Allah memerintahkan kita supaya bersabar dan sentiasa berdampingan rapat dengan orang yang beribadah setiap hari demi mendapatkan redha Allah SWT. Beribadah itu konteksnya luas. Namun ingin ummi tegaskan di sini, setiap hari perlu untuk kalian memantau jumlah masa yang diperuntukkan untuk Allah SWT. Ini kerana kalian perlu belajar, bekerja dan sebagainya lalu ibadah yang khususlah yang betul-betul membuat kalian dekat dengan Allah SWT. Solatnya khusyuk, Al-Qurannya lancar, tadabburnya menyusul, zikirnya basah di bibir kalian. Percayalah ibadah inilah yang akan membuat kalian dekat dengan Allah SWT.

Kemudian, dalam ayat yang sama, Allah SWT memerintahkan kita supaya tidak memalingkan muka atau menghindari orang yang kuat beribadah ini semata-mata kerana mahukan kesenangan dunia. Dalam hal ini boleh jadi kalian terlalu sibuk dengan hal-hal seharian sehingga lalai untuk bersama-sama orang-orang yang mengingati Allah SWT. Sertailah mana-mana gerakan Islam untuk tujuan pentarbiyahan dan peringatan agar sentiasa di atas jalan yang lurus. Akhir sekali, Allah SWT memerintahkan kita supaya tidak bersama-sama dengan orang-orang yang lalai dan mendustakan Al-Quran.

Subhanallah, banyak pengajaran ayat ini yang ummi peroleh. InshaAllah kalian akan bahagia dengan meletakkan akhirat di depan dunia.

Sekian.

Ummi, 15 November 2013 @ 11.00 malam

Thursday 14 November 2013

Untuk anak-anak: Letak dunia di tanganmu, letak akhirat di hatimu

Anak-anak,

Fitrah wanita menjaga rumahtangga dan anak-anak. Ummi suka menjaga anak-anak di rumah. Ummi suka dan bahagia menjaga kalian. Namun ramai wanita perlu bekerja kerana menyara ibu bapanya. Ya begitu juga ummi. Ummi ada seorang ibu di bawah tanggungjawab ummi. Ummi ada seorang adik di kolej yang ummi sara hidupnya. Ya, ummi bekerja untuk mereka. Ummi tidak akan berhenti. Ummi tidak akan kurangi sumbangan ummi atas alasan apapun. Ummi tidak akan kurangi sumbangan walaupun ummi dalam kesempitan.

Tidak, ummi tidak mengeluh. Ummi menulis ini untuk anak ummi Dhuha Tihani dan adik-adik. Ummi mahu beritahu kepada kalian bahawa biar kita makan kais pagi makan pagi asal ibu bapa dapat hidup selesa. Ummi mahu beritahu Dani Al-Fateh yang dia perlu mengizinkan isterinya bekerja atau dia yang perlu berbakti kepada keluarga mertuanya sekiranya mereka kesusahan. Kalau ummi menutup mata esok hari, dapatlah ummi tulis nasihat ini. Kita hidup untuk orang lain.

Kita bekerja untuk orang lain. Ummi juga bekerja untuk orang kesayangan ummi. Sekiranya ummi hidup untuk diri sendiri, habis pendapatan ummi, ummi joli. Ummi beli baju. Ummi beli kasut. Ummi jalan-jalan. Ummi pergi pusat rawatan. Ummi buat apa yang ummi suka. Tidak, ummi tidak akan membazir. Hidup ini pendek. Duit yang ummi ada ummi simpan dan labur untuk anak-anak dan kecemasan agar tidak perlu meminta-minta. Tidak perlu kalian meminta-minta. Duit yang ada ummi beri kepada orang kesayangan. Itu sahaja yang ummi ada.

Bahagia? ummi bahagia walau kadang-kadang ummi letih. Letih sungguh. Rasa masa ummi tidak cukup. Kini kerja mengasuh dan mendidik anak perlu ummi lakukan seiring dengan mencari rezeki. Ummi rasa tiada masa untuk bersendirian. Semasa ummi menulis catatan ini, kalian telah tidur. Dapatlah ummi menarik nafas menghilangkan lelah. Kadang-kadang ummi rasa kalian ini nikmat atau ujian?. Semalam dalam satu perbincangan, ummi tersentak sebentar mengenai hadis bahawa nikmat yang Allah kurniakan di dunia akan mengurangkan ganjaran pahala di akhirat.

Allah, Allah. Apa telah ummi lakukan?. Begitu banyak nikmat yang Allah beri pada ummi, lalu ummi menjadi lalai. Ummi hanyut mengurus rumahtangga. Ummi hanyut mencari rezeki. Habis masa ummi begitu sahaja. Ummi sedih. Lidah kelu. Ummi meneliti semula visi hidup ummi. Ummi susun semula strategi. Ummi meneliti bentuk nikmat yang ummi ada. Harta-harta ini untuk siapa?. Ummi mencari rezeki untuk siapa?. Keluar soalan di minda ummi. Ummi hidup untuk siapa?

Ummi hidup untuk orang lain. Ummi hidup untuk masuk syurga Allah. Lalu antara jalannya menjadi isteri dan ibu yang solehah, berbakti kepada ibu bapa dan berbakti kepada masyarakat. Harta ummi bukan hak ummi. Hak orang lain. Hak anak-anak. Hak ibu bapa. Hak masyarakat. Lalu, biarlah sedikit sahaja yang tinggal untuk ummi agar tidak mengurangi pahala ummi di akhirat. Letak dunia di tanganmu, letak akhirat di hatimu.

Sekian.
Ummi, 14 November 2013 @ 11.30 malam

Tuesday 12 November 2013

-Softskill-

Dalam apa jua bidang yang kita ceburi, softskill adalah paling penting. Ini kerana softskill tidak datang dengan tiba-tiba. Softskill perlu dilatih. Softskill tidak seperti skill menggunakan komputer, skill mengemaskini facebook, skill membaiki motosikal dan sebagainya. Skill itu perlu ketika berurusan dengan benda bukan hidup.
Manakala softskill diperlukan ketika berurusan dengan manusia. Manusia ada perasaan dan emosi. Tindakan manusia tidak boleh dijangka. Apakah contoh-contoh softskill?
+ Skill komunikasi
+ Skill memujuk
+ Skill mempengaruhi
+ Skill berkawan-kawan
+ Skill bekerjasama
+ Skill koordinasi
+ Skill menyelesaikan masalah

dan lagi.
dan lagi.

Saturday 9 November 2013

Apa saya mahu capai sebagai manusia?

Visi
 
Mahu masuk Syurga Allah
 
Misi
 
1.0 Buat apa Allah SWT suruh
2.0 Tinggal apa Allah SWT larang
3.0 Ikut apa yang nabi ajarkan
 
Objektif
 
1.0 Buat apa yang termaktub dalam Rukun Islam
2.0 Percaya kepada Rukun Iman
3.0 Menjadi mukmin yang bertaqwa
4.0 Menjadi isteri dan ibu solehah
5.0 Berbakti kepada ibu bapa
6.0 Berbakti kepada masyarakat
7.0 Amar ma'ruf nahi munkar
8.0 Menuntut ilmu Quran dan hadis
9.0 Amalkan Sunnah nabi

Tuesday 5 November 2013

Keperluan atau kehendak?

Cara hidup kita menentukan cara kita berbelanja. Pilihan gaya hidup menetukan tahap kewangan kita. Lebih-lebih lagi jika gaya hidup pilihan kita tidak seiring dengan gaya 'poket' kita. Menurut Bayt Shukril, berikut adalah contoh-contoh perbelanjaan bukan keperluan untuk individu bergaji RM6000 secara purata:
  • Memakai dua kereta, tapi akhirnya satu kereta tinggal di luar rumah dan pergi kerja menaiki motosikal.
  • Memasang Astro kerana ingin memenuhi keinginan menonton saluran-saluran kegemaran.
  • Memasang Unifi untuk memuat turun video-video atau filem-filem kegemaran.
  • Menempah baju kerja atau membeli setiap bulan dengan alasan tuntutan kerja.
  • Membeli baju anak setiap bulan atas alasan anak cepat membesar.
  • Membeli LCD tv yang besar untuk menonton rancangan kegemaran.
  • Membeli produk kecantikan setiap kali ada promosi terbaru.
  • Membeli rumah berharga RM300,000 ke atas. (Mengikut sifir ukur baju di badan sendiri  rumah yang layak dimiliki hanya berharga RM200,000)
  • Dan banyak lagi perbelanjaan yang bukan keperluan.

Akhirnya simpanan tidak dapat dibuat. Duit habis dibelanja. Inilah sifir biar papa asal hati gembira dan bergaya.

Allahu'alam.


Thursday 31 October 2013

Ilmu-Amal-Akhlak, "Think like a lady, act like a man, Leader vs Boss"

Ilmu tanpa amal, umpama pokok tanpa buah, hendak beramal juga perlukan akhlak-akhlak tertentu. Dalam kehidupan seharian sebagai pemimpin di rumah, di tempat kerja atau ketika mengendalikan bisnes, ketiga-tiga elemen ini amat penting.Dari pemerhatian, pembacaan dan pengalaman saya, ketiga-tiga ini memerlukan kemahiran si pemimpin.

Saya baru pulang menghadiri 'Basic Agency Management Course' sebagai persediaan menerajui sebuah agensi. Subhanallah, terlalu banyak ilmu yang saya perolehi untuk saya menerajui sebuah agensi. Saya dapat ilmu dan saya dapat cara-cara untuk saya beramal dengan ilmu tersebut. Apa yang saya tidak dapat adalah bagaimana saya perlu berakhlak ketika saya mengemudi agensi.

Akhlak ketika membuat keputusan?
Akhlak ketika bercakap dengan ejen, staff atau orang bawahan?
Akhlak ketika menghadapi ejen, staff atau orang bawahan yang bermasalah?
Akhlak ketika menghadapi ejen, staff atau orang bawahan yang ada masalah keluarga atau peribadi?
Akhlak ketika menghadapi ejen, staff atau orang bawahan yang tertekan?
Akhlak ketika menghadapi ejen, staff atau orang bawahan yang kurang komitmen?
Akhlak mendorong ejen, staff atau orang bawahan yang corot?

Dan banyak lagi persoalan dalam minda saya. Alhamdulillah saya ada membaca beberapa blog dan perkongsian dari beberapa orang sifu mengenai bagaimana Nabi Muhammad berakhlak ketika menjadi pemimpin.Tetapi itu tidak cukup sebagai persiapan saya menjadi seorang pemimpin. Kalau tidak di Takaful Ikhlas, mungkin saya perlu menuntut di tempat lain.

Dalam mengemudi agensi, sesetengah pemimpin menjadi 'BOSS' seperti mereka membayar gaji ejen-ejen. Apa yang saya perhatikan, rata-rata pemimpin selalu merasakan dirinya sentiasa betul. Ego dan membuat keputusan berdasarkan emosi. Terdapat segelintir pemimpin mencampuri urusan rumahtangga orang bawahan. Malahan ada yang tidak dapat memahami atau 'empathy' kepada ejen atau orang bawahan yang sudah berkahwin dan mempunyai anak-anak kecil. Akhirnya mereka hilang dari industri takaful dek kerana pemimpin gagal memahami dan memotivasi.

Banyak situasi saya lihat pemimpin sendiri tidak berakhlak dengan baik yang menjadikan beliau gagal dalam mengemudi agensinya. Akhlak itu adalah softskill. Softskill perlu dilatih. Dan rata-rata pemimpin lelaki kurang dari segi softskill 'common sense' dan komunikasi. Skill 'common sense' dan komunikasi ini yang menentukan persekitaran kondusif dalam agensi atau syarikat. Skill ini juga yang menentukan kita menjadi pemimpin yang disayangi atau dibenci.

Mudah kata "THINK LIKE A LADY, ACT LIKE A MAN".

Bukan "think like a lady, act like a lady" atau "think like a man, act like a man".

Paling teruk "think like a man, act like a lady".

Jadi "LEADER" bukan "BOSS" .

Muhasabah untuk saya.


Tahniah kepada team penganjur dan semua peserta. Terima kasih atas ilmunya.

Sunday 27 October 2013

-Qanaah dan Tamak-

Apabila memikirkan dunia, aplikasikan qanaah. Kita tidak akan mudah hanyut. Mudah bersyukur. Hidup menjadi sederhana. Sebagaimana para sahabat yang kaya dahulu, mengambil hartanya untuk hidup sampai hari esok sahaja, yang lain malah diinfaqkan.

Apabila memikirkan akhirat, aplikasikan tamak. Kita tamak mencari redha Allah seolah-olah tiada lagi hari esok. Tamak menuntut ilmu seolah-olah akan mati hari esok. Tamak menyebarkan kebaikan seolah-olah hidup kita tamat hari ini.